Beza Peranan Nabi dan Rasul.
Antara perkara yang terdapat dalam rukun iman ialah beriman kepada RASUL. Beriman kepada rasul bukan sekadar percaya, tapi yakin dan mengamalkan apa yang disampaikan dari rasul itu. Rasul diutuskan oleh Allah sebagai wakil-Nya kepada manusia untuk mengajak, menyeru dan memimpin supaya Allah disembah, dibesarkan, dan diagungkan. Itulah antara kerja atau peranan rasul selain datangnya membawa rahmat kepada alam.
Apa bezanya nabi dan rasul? Kedua-duanya sangat istimewa darjat mereka disisi Allah Swt. Namun perbezaan mereka cukup besar. Seorang nabi belum tentu dia rasul. Tetapi seorang rasul sudah pasti dia nabi. Apa kerja rasul dan apa kerja nabi?
Rasul diutuskan Allah sebagai pemimpin kepada ummatnya. Wajib keatas seorang rasul menyampaikan wahyu yang diturunkan padanya kepada ummatnya. Sebagai rasul, diamanahkan padanya untuk berdakwah kepada manusia. Berbeza pula dengan seorang nabi. Dia tidak diamanahkan menyampaikan atau menyeru kepada manusia. Dia tidak diwajibkan memimpin. Wahyu yang disampaikan hanya untuk dirinya dan tidak wajib baginya menyampaikan kepada manusia. Namun sebagai seorang nabi, dia tetap menjadi rujukan masyarakat.
Contohnya terdapat didalam Quran. Bagaimana Nabi Samuel hanya menjadi tempat bani israel meminta keberkatan doa dan pandangannya. Baginda tidak memimpin. Malah ketika Tholut dilantik menjadi pemimpin walaupun Tholut bukan nabi atau rasul, Nabi Samuel memberikan ketaatan padanya. Hinggalah tibanya kepimpinan Nabi Daud. Kerana Nabi Daud adalah seorang nabi dan rasul.
Begitu juga kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir. Nabi Musa adalah nabi dan rasul manakala Nabi Khidir hanyalah seorang nabi sahaja. Dengan erti yang lain, seorang rasul adalah pemimpin, manakala peranan nabi lebih kepada ulama. Menasihati, memberi panduan dan rujukan, tidak pula sampai memimpin. Begitulah peranan nabi dan rasul.
Di zaman tiada nabi dan rasul, Allah utuskan juga mereka yang berperanan sebagai nabi dan rasul walaupun mereka bukan nabi dan rasul. Sabda Nabi Muhammad Saw yang bermaksud, Allah akan utuskan di setiap awal kurun seorang mujaddid yang akan perbaharui urusan agamanya. Mujaddid ini adalah ulama berwatak rasul. Dia adalah pemimpin yang melaksanakan tugas rasul. Dia bukan sahaja menjadi tempat rujukan dan penyelesai masalah, malah dia juga memimpin manusia supaya diselamatkan iman mereka.
Berbeza dengan ulama berwatak nabi, yang bilangan mereka ini sangatlah ramainya tapi mereka bukan pemimpin. Mereka hanyalah tempat rujukan masyarakat dalam memberikan pandangan dan nasihat, buah fikiran, dan menyambung keberkatan.
Contohnya seperti peranan Sayyidina Umar Al-Aziz dan Imam Hassan Al-Basri. Hassan Al-Basri adalah seorang tabi'in. Beliau sempat bertemu sahabat. Malah ada sahabat yang pernah menjadi muridnya. Manakala Umar ibnu Aziz adalah tabi'ut tabi'in, tidak pernah bertemu sahabat hanya bertemu tabi'in. Namun Khalifah Umar Al-Aziz adalah ulama berwatak rasul manakala Imam Hassan Al-Basri ulama berwatak nabi. Tidak wajib bagi Hassan Al-Basri memimpin malah dia juga dipimpin khalifah di zamannya. Tapi tidak pada Umar Al-Aziz. Dia adalah mujaddid dan dia juga adalah pemimpin.
Di zaman tiada rasul, nabi tidak wajib memimpin. Dia hanya menjaga iman dirinya sahaja. Paling-paling pun dia menjaga iman keluarganya sahaja. Begitu juga di zaman tiada pemimpin yang dijanjikan, ulama berwatak nabi hanya menjaga iman dirinya dan keluarganya sahaja. Tidak wajib baginya memimpin kerana dia hanya berwatak nabi bukan rasul. Jika ada orang atau masyarakat yang mahu mengikutnya, itu tidak menjadi masalah.
Comments
Post a Comment